Pengundi di DUN Sungai Limau dinasihatkan memikirkan tentang masa depan anak-anak mereka sebelum memilih pemimpin yang akan mewakili mereka kelak.

Menteri Besar Datuk Muhkriz Mahathir berkata antara kriteria calon yang perlu dipilih mestilah bertanggungjawab dan mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah.

Sekiranya pemilihan calon dibuat mengikut emosi maka masalah penduduk tidak dapat diselesaikan.

"Sebaliknya kalau kita memilih sebuah kerajaan yang dianggotai oleh mereka yang bertanggungjawab, berwibawa, berintregriti tinggi dan yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif, maka kita akan dapat memikirkan pendekatan yang baru untuk meringankan beban yang terpaksa kita pikul"

Antara pendekatan yang diwujudkan Barisan Nasional,BN bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah ialah dengan mewujudkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurutnya jumlah pembiayaan kredit mikro kepada ahli AIM di DUN Sungai Limau sahaja mencecah RM30 juta.

Dalam masa sama Muhkriz berkata calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim merupakan seorang individu terpelajar dan diyakini mampu menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

AIM ditubuhkan pada 1987 bertujuan mengurangkan kemiskinan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah dengan pembiayaan kredit mikro.