KUALA LUMPUR: Filem Sheriff arahan Syafiq Yusof mendapat sambutan luar biasa di pawagam meskipun telah memasuki minggu kedua tayangan di seluruh negara dengan meraih kutipan terkini mencecah RM44.5 juta selepas 14 hari filem itu ditayangkan.

Pengarah filem yang juga bapa kepada Syafiq, Datuk Yusof Haslam berkata kejayaan itu menyuntik semangat baharu kepada industri perfileman negara setelah setahun dua ini suram tanpa karya nafas baharu.

"Alhamdulillah dengan sambutan Sheriff yang memberangsangkan di pawagam, industri (perfileman) kembali bernafas.

"Keadaan ini sekali gus menyuntik semangat kita untuk terus berjuang berkarya menghasilkan filem yang berkualiti," katanya ketika ditemui sebagai tetamu jemputan pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Sebelum ini, Filem Mat Kilau arahan seorang lagi anak Yusof, Shamsul melakar sejarah apabila mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta pada 2022, sekali gus meletakkan Mat Kilau sebagai filem dengan kutipan tertinggi di negara ini.

Yusof yang juga Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif bersama filem berkenaan turut berterima kasih kepada penonton yang memuji garapan luar biasa filem Sheriff dan menganggap watak-watak dalam filem itu telah berjaya meninggalkan kesan kepada mereka.

Filem Sheriff yang mula ditayangkan pada 19 April, menampilkan gandingan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, dengan mengisahkan Nazri, seorang anggota polis daripada Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes "Meth Killer" dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

-- BERNAMA