KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP), yang antara lain bertujuan menyelaras pembangunan kapasiti modal insan bagi industri kreatif.

FINAS dalam satu kenyataan berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS Bil. 3/2021 yang telah dipengerusikan Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid.

Menurutnya inisiatif itu dilaksanakan untuk menyediakan pengumpulan data yang menyeluruh berkaitan industri kreatif melalui platform khusus melibatkan penilaian, pengiktirafan dan penyaluran data berkaitan pemain industri, persatuan dan syarikat dengan skop bidang yang lebih luas.

"Pelaksanaan MyCAP juga bertujuan meningkatkan profesionalisme penggiat industri kreatif bagi memenuhi aspirasi 'Road to OSCARS'. Sesi libat urus Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama penggiat industri juga akan diadakan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, FINAS memandang serius akan isu berkaitan aktiviti cetak rompak di platform digital dan sentiasa komited dalam menyokong usaha Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak Digital untuk bertindak lebih agresif bagi membanteras aktiviti itu.

"FINAS juga mengambil maklum akan proses akhir bagi kelulusan penambahbaikan pelaksanaan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia - Film In Malaysia Incentive (FIMI) dan akan diumumkan kepada penggiat industri kreatif kelak bertujuan membantu penggiat industri dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA