GEORGE TOWN: Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan penerbangan sulungnya dari hab operasi pesawat jet di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) di Bangkok hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata pengembangan strategik itu menandakan komitmen Firefly untuk mengukuhkan jejaknya di seluruh rantau ASEAN.

"Penubuhan sambungan terus dari PEN menunjukkan dedikasi kami memacu pertumbuhan di hab utara dan ini akan meningkatkan kebolehcapaian serantau untuk pengembara domestik di samping membuka pintu kepada pelawat antarabangsa, meningkatkan sektor pelancongan, serta perjalanan perniagaan dan pelaburan asing.

"Kami teruja dengan prospek memupuk peningkatan kesalinghubungan dan menyumbang secara signifikan kepada pelancongan," katanya.

Laluan baharu itu akan beroperasi lima kali seminggu, menggunakan pesawat Boeing 737-800 milik syarikat berkenaan.

--BERNAMA