KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara selama dua tahun terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown atas dakwaan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri pada Rabu selepas tertuduh yang berusia 65 tahun itu didapati bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Rewcastle-Brown bermula dari tarikh sabitan kes berkenaan pada Rabu.

Perbicaraan kes itu dijalankan secara 'in absentia' (tanpa kehadiran) di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sebelum ini, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

Rewcastle-Brown sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 23 September 2021, tanpa kehadirannya sebelum dia memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy bagaimanapun menolak permohonan berkenaan pada 21 Jun tahun lalu.

Beliau memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu tanpa sebarang halangan memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Baginda memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Artikel penuh ini diterbikan di portal Sinar Harian