Wakil Rakyat DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz hari ini memohon maaf kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana memfitnah bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi blognya pada September 2015.

Fitnah yang dibuat beliau terhadap Datuk Ibrahim itu berkaitan projek pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan ( LRT) yang dimiliki syarikat George Kent menerusi blognya Sakmongkol AK47 pada 27 September 2015.

Permohonan maaf itu dibacakan di hadapan Hakim See Mee Chun di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Kenyataan permohonan maaf
Permohonan maaf oleh Ahli Parlimen Raub itu juga perlu diterbitkan di media merupakan sebahagian daripada terma penyelesaian kes saman fitnah oleh Presiden Perkasa itu yang difailkan pada 4 November tahun lalu.

Datuk Mohd Ariff juga diarahkan membuat permohonan maaf di media selain perlu membayar sejumlah wang yang belum dinyatakan jumlahnya selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Kes itu sepatutnya mula dibicarakan hari ini.

Sementara itu, Datuk Ibrahim dalam kenyataan ringkasnya menerima permohonan maaf yang dikemukakan oleh Mohd Ariff Sabri.

"Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepada nya sebagai MP supaya dalam keghairahan berpolitik, tidak ambil mudah menuduh orang tanpa bukti," katanya.