Skip to main content

Malaysia

FMM sokong digitalisasi, AI dalam pengambilan pekerja asing

KUALA LUMPUR, Feb 26-- Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) President, Jacob Lee Chor Kok, speaks at a press conference following the FMM Council Swearing-in Ceremony at Wisma FMM today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Lee berkata, penggunaan teknologi berkenaan berpotensi mengurangkan beban pentadbiran, menambah baik padanan pekerjaan serta menangani ketidakcekapan dalam proses pengambilan pekerja. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan mempertingkatkan sistem pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan yang lebih meluas serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) ke arah proses yang lebih cekap, telus dan lancar.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, peralihan ke arah platform digital dan berasaskan AI adalah tepat pada masanya memandangkan industri kini semakin memerlukan penyelesaian tenaga kerja yang lebih pantas, boleh dipercayai serta berasaskan permintaan.

Advertisement

Beliau berkata, penggunaan teknologi berkenaan berpotensi mengurangkan beban pentadbiran, menambah baik padanan pekerjaan serta menangani ketidakcekapan dalam proses pengambilan pekerja.

“Teknologi ialah pemudah cara. Dengan data dan integrasi yang tepat, AI mampu membantu menyediakan sistem yang cekap, telus serta responsif terhadap keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, Malaysia sudah mempunyai sistem dan proses sedia ada, justeru sebarang penambahbaikan perlu dibina berasaskan asas itu bagi mewujudkan ekosistem menyeluruh yang lebih bersepadu serta terselaras untuk majikan.

Lee turut menggesa pendekatan integrasi berfungsi dilaksanakan dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerajui komponen tenaga kerja di peringkat hadapan, termasuk pengesahan permintaan, padanan pekerjaan serta penglibatan majikan.

“Pada masa sama, platform sedia ada seperti Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) boleh terus memainkan peranan penting dalam proses kawal selia di peringkat belakang, khususnya berkaitan saringan keselamatan, kawalan imigresen dan pemprosesan visa di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Beliau menekankan penambahbaikan itu perlu berlandaskan prinsip ketelusan dan integriti.

“FMM mengalu-alukan usaha mengurangkan penglibatan orang tengah di kedua-dua pihak, sekali gus menurunkan risiko berlakunya buruh paksa serta meningkatkan ketelusan dan integriti sepanjang proses pengambilan pekerja,” katanya.

Lee turut menyatakan sistem pengambilan yang cekap perlu bergerak seiring dengan cadangan mekanisme levi berperingkat bagi menyokong keperluan industri, selain menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam automasi dan transformasi tenaga kerja.

-- BERNAMA

Must Watch Video