Perniagaan 'food truck' mampu membantu sektor pelancongan negara terutama subsektor pelancongan makanan yang kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perniagaan makanan mudah alih menggunakan lori itu menyediakan alternatif kepada pelancong menikmati juadah cita rasa Malaysia tanpa perlu bersesak di restoran.

"Kalau kita tengok beberapa destinasi pelancongan seperti di Melaka, mereka (pelancong) sering menghadapi masalah membeli makanan terutama pada waktu kemuncak seperti musim cuti sekolah atau cuti umum.

"Ia (food truck) menjadi pilihan kepada pelancong membeli makanan. Lagipun urusan di food truck ini mudah dan cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Le'Park@Mastana di Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) Masjid Tanah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Melaka Jeffri Munir dan Pengarah Mara Melaka Abd Wahab Yusoff.

Mas Ermieyati berkata kementeriannya akan cuba meneliti kerjasama dengan kementerian atau agensi lain berkaitan dengan usahawan food truck bagi meluaskan usaha mewujudkan destinasi tumpuan makan-makan menggunakan kenderaan tersebut.

Beliau berkata usaha berkenaan bukan sahaja dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan muda di negara ini untuk menceburi bidang keusahawanan malah turut dapat mempromosikan cita rasa Malaysia kepada pelancong tempatan dan luar negara.

"Namun mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan menggunakan food truck ini perlu memastikan penyediaan dan pengendalian makanan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kesihatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata selain itu, peniaga food truck juga perlu memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan berdisiplin kerana mereka bukan sahaja membawa jenama mereka tetapi juga nama negeri dan negara.

Terdahulu Mas Ermieyati menyampaikan sumbangan cermin mata kepada 250 penerima di kawasan Parlimen Masjid Tanah yang membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM70,000 bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan baik.

"Kami memperuntukkan RM350 cermin mata bagi golongan dewasa, RM200 bagi kanak-kanak dan pelajar di kawasan ini dan usaha ini akan kami laksanakan dari semasa ke semasa bagi menjaga kebajikan masyarakat dan golongan yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA