Ford memperkenalkan teknologi dan ciri baharu untuk membolehkan pemandu mendapat visual yang mungkin sukar untuk dilihat. Arah tersebut mungkin ditutup oleh kenderaan lain ataupun pokok dan sebagainya. Ini selalu terjadi apabila pemandu perlu keluar daripada kotak parkir.

Teknologi kamera ‘split-view’ Ford menggunakan kamera 1-megapixel dengan lensa pandangan lebar untuk mempamerkan imej kedua-dua arah (kiri dan kanan) di atas skrin lapan inci. Ciri ini diaktifkan menerusi butang khas, dan akan padam secara automatik apabila kenderaan mencapai 10km/j.

Kamera ini dipasang pada gril hadapan dan bampar/’tailgate’ belakang, untuk memberi pandangan 1800 ke arah yang tidak dapat dilihat pemandu. Buat masa ini, penggunaan kamera ‘split-view’ ini hanya diperkenalkan pada model-model Ford Edge (tahun 2015) dan Ford Explorer (tahun 2016) yang dijual di pasaran Amerika Syarikat dan China. (gambar bawah)

Sebuah penyembur air kecil turut dipasang untuk mencuci lensa kamera yang digunakan agar imej yang diambil adalah tajam dan terang. Sebelum itu, kamera ini telah diuji pada keadaan mencabar melebihi 1000 jam termasuk di dalam suhu ekstrem; berabuk, kelembapan udara tinggi dan pelbagai lagi.

Ford mengatakan bahawa penggunaan kamera seperti ini akan dipasang pada hampir semua SUV model global menjelang tahun 2020. Untuk kenderaan penumpang pula, sasarannya adalah tahun 2018, tetapi hanya untuk pasaran Amerika Utara.