Lebih 80 peratus daripada 62,000 responden dalam kalangan orang ramai mendapati objektif Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memberikan kesan positif.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof, langkah mencari formula terbaik masih perlu diteliti bagi memperkukuhkan modul PLKN itu.

Sehubungan itu, satu sesi makmal transformasi PLKN bakal berlangsung 26 Mac ini bagi merangka semula formula pembentukan sahsiah dan jati diri generasi muda.

Seramai 86 ahli makmal terdiri daripada operator kem, alumni PLKN, ibu bapa, NGO dan agensi kerajaan akan hadir memberi maklum balas dalam usaha penambahbaikan program.

Datuk Mohmed yang diminta mengulas terdapat beberapa pihak melihat program itu secara negatif dan beliau berkata perkara itu perlu diteliti daripada pelbagai aspek.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat juga yang berpendapat PLKN telah mengubah jati diri generasi muda.

Beliau berkata ahli makmal itu akan membincangkan beberapa perkara termasuk kemudahan PLKN, tenaga pengajar dan pengambilan pelatih itu.

Hasil pelan tindakan perbincangan itu akan dibentangkan ke kabinet nanti.

Sebelum ini, Perdana Menteri telah menangguhkan PLKN selama setahun bagi menambahbaik program itu.

Lebih 832,700 pelatih PLKN telah mengikuti program itu sejak ia diperkenalkan pada 16 Februari 2004.