SAN JOSE: Syarikat teknologi gergasi NVIDIA menyasarkan nilai tempahan cipnya melebihi AS$1 trilion menjelang 2027, langkah yang mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat paling bernilai di dunia ketika ini, lapor Amanz.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jensen Huang, membuat unjuran tersebut pada persidangan GTC 2026 di San Jose, yang turut mengesahkan bahawa NVIDIA kini berada di hadapan Apple, Alphabet (Google) dan Microsoft dari segi nilai pasaran global.
Advertisement
Menurut Huang, permintaan terhadap kuasa pemprosesan bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) terus meningkat secara drastik, didorong oleh peralihan industri kepada sistem AI yang bukan sahaja melatih model, tetapi juga menjalankan inferens berskala besar.
Beliau berkata peningkatan mendadak dalam penggunaan aplikasi AI di perusahaan serta keperluan infrastruktur baharu akan terus memacu pendapatan syarikat dalam beberapa tahun akan datang.
Strategi agresif NVIDIA ini dilihat sebagai langkah penting mendepani persaingan sengit dalam industri semikonduktor global, ketika ekonomi dunia beralih kepada automasi pintar dan pembangunan berasaskan data.
Pencapaian sasaran trilion dolar itu dijangka menempatkan NVIDIA dalam kelas tersendiri sebagai peneraju utama transformasi digital global.