MALAYSIA
Freedom Flotilla Coalition: Kapal Conscience sambung pelayaran ke Gaza selepas berhenti petang semalam

Kapal Conscience teruskan pelayaran ke Gaza selepas berhenti seketika di perairan Mediterranean, bawa aktivis dan sukarelawan FFC kata Kamarul Zaman. - Foto Astro AWANI
SERI KEMBANGAN : Kapal Conscience yang dinaiki aktivis dan sukarelawan pelayaran Freedom Flotilla Coalition (FFC) telah menyambung pelayaran ke Gaza selepas berhenti beberapa jam di perairan Mediterranean petang semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, tujuan penghentian sementara itu dibuat sebagai langkah taktikal bagi menyelaras semula pelayaran serta menunggu ketibaan lapan kapal lain di bawah misi Thousand Madleens To Gaza (TMTG), selain melaksanakan pemeriksaan keselamatan berkala sebelum meneruskan perjalanan serentak ke perairan Gaza.
“Sepatutnya mereka tiba pagi tadi (zon kuning) mengikut perancangan asal, namun berlaku pertukaran strategi. Kapal berhenti seketika bagi menyelaras semula pelayaran," katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE, di sini, pada Isnin.
Kamarul Zaman berkata, pelayaran kali ini juga mengelak untuk tiba di Gaza pada 7 Oktober bagi menghindari kemungkinan Israel menggunakan tarikh berkenaan sebagai alasan untuk menyerang atau memintas konvoi dan mengaitkan kejadian Taufan Al- Aqsa pada 7 Oktober 2023 .“Pastinya mereka akan mengelak daripada tiba di Gaza pada 7 Oktober kerana tarikh itu berpotensi dijadikan alasan oleh Israel untuk mengambil kesempatan menyerang.
"Jadi, bagi mengelak sebarang provokasi atau salah tafsir, mereka memilih untuk menangguhkan sedikit pelayaran. Insya-Allah, selepas tarikh tersebut, kapal akan meneruskan perjalanan dan tiba di Gaza.
“Kapal kini bergerak perlahan dengan purata satu batu nautika sejam. Mereka memilih untuk tidak tiba pada tarikh itu bagi mengelak risiko dan memastikan keselamatan semua sukarelawan,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan terdapat empat dron berlegar di ruang udara Kapal Conscience pada malam tadi yang dikesan Ketua Deligasi Malaysia MyCARE Prof Alauddin yang dipercayai cubaan untuk mengugat keselamatan.
Kapal Conscience setakat jam 2.20 pagi waktu Malaysia, berada kurang 250 batu nautika dari Gaza dan dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh 24 jam akan datang.
Keseluruhan anak kapal Conscience terdiri daripada 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Misi Freedom Flotilla Coalition tahun ini disertai lebih 150 aktivis dari 25 negara, membawa bekalan ubat-ubatan, makanan serta mesej solidariti antarabangsa bagi menuntut pembukaan segera koridor kemanusiaan ke Gaza yang masih disekat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami