ISTANBUL: Pendirian Malaysia dalam isu melibatkan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza kekal tegas di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal, perkara ini jelas berdasarkan interaksi berterusan Perdana Menteri mengenai isu tersebut bersama beberapa pemimpin utama dunia.

“Perdana Menteri kita telah berinteraksi dengan pelbagai pemimpin negara termasuk Presiden Amerika Syarikat (Joe Biden) untuk menggesa beliau supaya menggesa pihak Israel menghentikan keganasan ini dengan serta merta.

“Saya rasa itulah motivasi tertinggi yang kita ada dan saya rasa kita semua mendukung motivasi tersebut,” katanya dalam satu pertemuan bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla di Istanbul, Turki, pada Ahad.

Sazali bercakap dalam satu pertemuan bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla di Istanbul, Turki, pada Ahad. - Foto Astro AWANI

Selain itu, Sazali berkata peranan Turki di bawah kepimpinan Presiden, Recep Tayyip Erdogan juga senada dengan Malaysia dalam menangani isu ini.

Namun kesepakatan pemimpin utama dunia juga amat diperlukan kerana masih banyak pemimpin daripada kalangan negara-negara kuasa besar yang terus menerus ‘membutakan mata’ dalam isu tersebut.

“Pendiriannya adalah sama dengan pendirian Kerajaan Malaysia dan juga pendirian negara-negara lain yang menyokong kedaulatan diberikan kepada rakyat Palestin, keganasan dihentikan dengan serta-merta.

“Beliau (Erdogan) juga tidak pernah berhenti untuk melaungkan usaha tersebut supaya Israel menghentikan keganasan dan membenarkan saluran bantuan kemanusiaan dibekalkan dan disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Cuma masalah terbesarnya adalah kuasa-kuasa besar yang banyak melindungi rejim Israel dan membekalkan mereka dengan alasan mempertahankan diri melalui penggunaan kuasa ketenteraan yang telah melampaui batas,” tambahnya.

Sazali berkata demikian sebagai respon kepada seruan Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright yang menggesa pemimpin dunia tampil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.

Ini kerana ujarnya, sokongan dan kerjasama pemimpin dunia penting dalam memastikan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza dapat dihentikan segera.

Malah katanya dengan penyatuan kesemua pemimpin dunia, ia dilihat mampu mendesak kepada satu usaha jitu dalam menjayakan gencatan senjata yang berkekalan bagi membolehkan segala keperluan penyaluran bantuan ke Gaza dapat direncanakan sebaiknya.