KUALA LUMPUR: Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) dipercayai mempunyai keupayaan untuk membantu mengekang penguasaan kartel dalam ekosistem pengambilan pekerja asing di samping memperkukuh aspek keselamatan negara.
Namun, penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh berkata, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana sistem digital itu dilaksanakan secara menyeluruh serta disokong oleh penguatkuasaan yang konsisten tanpa sebarang kompromi.
Menurut beliau, dari sudut mengekang kartel buruh asing, FWCMS mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah atau perantara yang sebelum ini membuka ruang kepada manipulasi dan monopoli dalam proses pengambilan pekerja.
"Melalui pendigitalan, setiap permohonan dan kelulusan direkodkan dalam sistem dengan jejak audit yang telus, sekali gus menyukarkan sebarang cubaan memanipulasi data atau berlakunya amalan rasuah.
"Penyepaduan maklumat perubatan dan dokumentasi membantu mengurangkan pemalsuan laporan kesihatan, dokumen insurans serta dokumen lain yang sering dieksploitasi oleh sindiket," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan maklumat yang diterbitkan oleh Bestinet, FWCMS kini beroperasi sebagai platform bersepadu yang merangkumi 15 modul, menghubungkan 15 negara sumber tenaga kerja, 232 pusat perubatan bertauliah serta agensi-agensi kerajaan Malaysia dalam satu ekosistem digital.
Syarikat itu turut memaklumkan, platform berkenaan menguruskan pemprosesan lebih dua juta pekerja asing setiap tahun.
Bestinet turut melaporkan, FWCMS telah membawa pelbagai penambahbaikan operasi, termasuk mengurangkan tempoh pemprosesan daripada beberapa bulan kepada hanya 48 jam bagi proses tertentu, hampir menghapuskan pemalsuan laporan perubatan, mencapai 100 peratus pengesahan biometrik bagi mengelakkan penyamaran pekerja, mengurangkan kesilapan dokumentasi, mengekalkan ketersediaan sistem pada kadar 99.5 peratus, serta memastikan pematuhan penuh terhadap pemeriksaan kesihatan pekerja yang memasuki Malaysia.
Syarikat itu juga memaklumkan, sistem tersebut dibangunkan melalui pelaburan swasta selama lebih 15 tahun tanpa melibatkan kos langsung kepada pembayar cukai Malaysia.
Melalui platform awamnya, FWCMS turut menyatakan bahawa sistem itu menyokong 140 pusat perubatan bertauliah, bekerjasama dengan lebih 3,500 agensi pengambilan pekerja, serta memperoleh pensijilan antarabangsa termasuk ISO 9001, ISO 27001 dan CMMI Tahap 3, yang mencerminkan penekanan terhadap pengurusan kualiti, keselamatan siber dan piawaian pembangunan perisian.
Platform tersebut turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan United Nations World Summit Award 2017 di bawah kategori Government and Citizen Engagement sebagai pengiktirafan terhadap inovasinya dalam tadbir urus digital bagi pengurusan pekerja asing.
Sementara itu, dari perspektif keselamatan negara pula, Zaki berkata, integrasi data biometrik membolehkan pengesahan identiti pekerja asing dibuat sejak di negara sumber sebelum mereka memasuki Malaysia.
Katanya, langkah ini membantu mengukuhkan kawalan sempadan dan mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti.
Pada masa yang sama, katanya, sistem ini memudahkan pengesahan bahawa pekerja yang dibawa masuk benar-benar mempunyai majikan yang sah serta kuota yang diluluskan, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan tidak teratur dan kegiatan pemerdagangan manusia.
"FWCMS juga membolehkan pihak berkuasa memantau status permit serta kedudukan pekerja asing dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan masalah pekerja yang terkandas atau bekerja tanpa majikan yang sah.
"Bagaimanapun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Kejayaan FWCMS bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas, integriti semua pihak yang terlibat, serta kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan negara sumber bagi memastikan setiap kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh sindiket dapat ditutup sepenuhnya," katanya.