KUALA LUMPUR: Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

Ketibaan Kiro bersama pasangannya Dr Richard Davies pada 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan New Zealand dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Kapten Sabri Hamil disusuli tembakan meriam 21 das.

Gabenor Jeneral New Zealand itu kemudian memeriksa kawalan kehormat melibatkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kuala Lumpur diketuai Mejar Mohd Waqiyudin Abd Rahman.

Kiro bersama Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menanam pokok nona atau nama saintifiknya Annona Squamosa di halaman istana, dengan disaksikan Tunku Azizah, Dr Richard Davies, Anwar dan Azizah.

Selepas istiadat itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja diikuti majlis penamaan spesies orkid baharu dinamakan Dendrobium Cynthia Kiro sebagai penghormatan kepada pemimpin New Zealand itu.

Kiro juga diraikan dan diberi penghormatan di Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Okt 2021.

Kali terakhir New Zealand mengadakan lawatan peringkat ketua negara ke Malaysia adalah pada 5 hingga 8 Dis 2017 oleh Dame Patsy Reddy.

New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan keseluruhan bagi kedua-dua negara setakat Jun 2023 bernilai RM6.32 bilion (US$1.42 bilion), peningkatan 15.3 peratus berbanding RM5.48 bilion (US$1.27 bilion) bagi tempoh sama pada 2022.

-- BERNAMA