KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menggesa kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman automatik selama enam bulan lagi kepada golongan B40 dan M40.

Gabungan tersebut dalam satu kenyataan berkata, lanjutan moratorium automatik itu perlu dilakukan tanpa syarat, faedah atau caj tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup kumpulan berkenaan.

Tegas kenyataan itu lagi, kerajaan digesa mengarahkan pihak pemberi pinjaman termasuk bank dan syarikat kredit untuk segera berbuat demikian.

"Moratorium automatik amat diperlukan oleh semua rakyat disebabkan pihak kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai yang setimpal dengan kos kerugian yang ditanggung oleh semua rakyat yang berupaya untuk meringankan beban dan aliran tunai mereka.

"Bantuan yang diberikan setakat ini jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan (PGK) RM2,208," demikian menurut kenyataan itu, hari ini. 

BACA: Moratorium menyeluruh seperti guna lebih banyak sumber daripada yang diperlukan - Tengku Zafrul

Moratorium Automatik | Gabungan NGO gesa sambung 6 bulan lagi

Jelas kenyataan yang mewakili lebih 20 gabungan berkenaan lagi, kebanyakan rakyat terbeban dengan hutang pinjaman sepanjang pandemik COVID-19.

Justeru, pemberian moratorium automatik disifatkan mampu meringankan beban golongan berkenaan daripada terjebak hutang dengan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Selain itu, gabungan itu turut menyeru kerajaan menggunakan segala kuasa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan dengan berkesan.

Rakyat juga memberikan kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah tersebut demi kepentingan rakyat, tambahnya.