MALAYSIA
Gadis Iban dinobat Miss Grand Malaysia 2025

Viviana akan mewakili Malaysia ke pentas Miss Grand International tahun ini yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Oktober depan. - Foto missmalaysiapageant
KUALA LUMPUR: Anak kelahiran Kuching, Sarawak Viviana Lin Winston dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia (MGM) 2025 pada malam kemuncak pertandingan ratu cantik itu yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen HGH, di sini malam tadi.
Ringkasan AI
- Viviana Lin dinobatkan Miss Grand Malaysia 2025 - Anak jati Kuching, Sarawak, Viviana Lin Winston memenangi gelaran Miss Grand Malaysia 2025 dan bakal mewakili negara ke Miss Grand International di Bangkok pada Oktober ini.
- Wanita Iban pertama raih gelaran ini - Viviana mencipta sejarah sebagai wanita Iban pertama memenangi gelaran tersebut dan berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada golongan muda dari pelbagai latar belakang.
- Harapan tinggi di pentas antarabangsa - Pihak penganjur yakin Viviana berpotensi mara lebih jauh di Miss Grand International dengan latihan dan persediaan rapi, menyasarkan tempat dalam kelompok 20 terbaik dunia.
Tempat kedua disandang peserta dari Negeri Sembilan Dr Nisha Thayananthan, manakala tempat ketiga menjadi milik Rochil Sagarino dari Sabah.
Menerusi kemenangan itu juga Viviana, atau lebih mesra disapa Vivi, mencipta sejarah menjadi wanita Iban pertama merangkul gelaran Miss Grand Malaysia.
"Pencapaian ini bukan sekadar kemenangan di pentas ratu cantik, tetapi peluang untuk meraikan kepelbagaian dan menunjukkan bahawa keunikan budaya Iban juga layak mendapat tempat di peringkat tertinggi.
"Saya harap kejayaan ini beri inspirasi kepada anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk percaya pada diri dan terus mencuba," kata penuntut Universiti Malaysia Sarawak itu.
Viviana turut meluahkan rasa terharu atas sokongan luar biasa yang diterimanya apabila 300 warga Sarawak sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk memberi sokongan secara langsung kepada beliau.
Sedar akan tanggungjawab besar yang menunggu di pentas MGI, gadis ini berazam untuk meneruskan legasi wakil terdahulu yang pernah berada dalam kelompok terbaik dunia.
"Selepas ini, saya ingin fokus untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman supaya dapat membawa nama Malaysia lebih jauh. Saya yakin impian untuk menjulang mahkota emas pertama bukan mustahil jika disertai latihan berterusan, bimbingan yang betul dan kerja berpasukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Nasional MGM 2025 Melisha Lin berkata kemenangan Viviana adalah hasil usaha gigih serta kelebihan yang dimiliki gadis tersebut dalam kelima-lima aspek utama yang dinilai di peringkat antarabangsa, iaitu beauty, body, brain, behaviour dan business.
Melisha berkata pihaknya menyasarkan untuk memperkukuh prestasi Malaysia di pentas dunia dengan matlamat minimum meletakkan Viviana dalam kelompok 20 terbaik Miss Grand International tahun ini.
"Malaysia berjaya menduduki tempat keenam (fifth runner-up) pada edisi lepas dan kami berharap dapat meneruskan momentum itu. Dengan persiapan yang rapi, tidak mustahil Viviana mampu pergi lebih jauh," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami