Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad mengakui kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah akibat kegagalan membaca sikap pengundi yang difikirkan masih kekal sama.

Beliau turut mengakui kekalahan dalam PRU14 yang lalu menyebabkan ada sebahagian ahli mula hilang semangat dan menjarakkan diri dengan UMNO kerana kecewa.

“Semasa PRU yang lepas, kita dilihat gagal membaca sikap pengundi. Kita fikir pengundi masih bersama, tetapi kita silap.

“Mereka sambut kita dengan senyuman, tetapi tidak lagi sokongan. Kita perlu lihat semula di mana kelemahan kita.

“Bagi memulihkan semangat ini, kita perlu melaksanakan program pengkaderan dan latihan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut memberitahu, ahli UMNO perlu menyemai, membina dan memupuk kembali roh perjuangan.

"Mendekati mereka bagi mengelakkan kekecewaan yang melanda terus berpanjangan sekali gus meletakkan noktah.

“Kita turun ke akar umbi. Kita atur program-program yang lebih berdaya saing, lebih berstrategik tanpa melibatkan kos besar dan tempat-tempat mewah.

“Sememangnya sukar untuk semua itu terutama dalam situasi kewangan parti yang menggugat tambahan pula dengan status sebagai pembangkang.

“Namun, ia sebenarnya bukan satu halangan besar untuk kita terus bersama, untuk kita dampingi mereka,” jelasnya.

Tambah Noraini, semuanya perlu dimulakan daripada sifar ekoran bacaan sikap sudah beralih ke bacaan sentimen.

Jelasnya lagi, bacaan secara manual tidak lagi praktikal.