GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan kerana bertindak agresif memukul ibunya dan mengancam mahu meletupkan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Jalan Gangsa, di sini semalam didapati bertindak sedemikian berikutan gagal mendapatkan wang daripada warga emas itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata lelaki berusia 45 tahun itu meminta sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah, namun ibunya yang berusia 70-an enggan memberikan duit itu.

"Akibat marah, lelaki itu bertindak agresif sehingga mencederakan ibunya selain mahu meletupkan rumah mereka.

"Ibunya yang merupakan peniaga gerai makan tidak mengalami kecederaan serius, namun masih trauma akibat dipukul... dia dirawat di Hospital Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kejadian itu iaitu Seksyen 506 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, lelaki terbabit yang berada di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan selepas dipujuk lebih tiga jam.

Lelaki itu pada mulanya dikatakan mengamuk dan dipercayai memukul ibunya menggunakan rotan sebelum kejadian disedari jiran lalu menghubungi polis kira-kira 9.30 malam.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan kamera tersembunyi di dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong, di sini, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas remannya tamat hari ini.

Beliau berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Secara keseluruhan polis telah rekodkan keterangan daripada sembilan individu bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan lelaki itu merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis berkenaan dan dipercayai turut menginap di inap desa yang sama bersama beberapa lagi rakan mereka.

Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 24 tahun mendakwa diintip menerusi kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi di bilik air, ketika sedang bercuti di inap desa itu pada 5 hingga 6 Feb lepas.

-- BERNAMA