PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Seorang daripada peguam yang mewakili Lim iaitu Haijan Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Wan Shaharuddin berkata notis untuk tidak meneruskan rayuan itu telah difailkan pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Haijan dan Wan Shaharuddin juga berkata Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan bahawa mereka tidak perlu hadir ke mahkamah esok bagi prosiding rayuan Lim susulan pemfailan notis itu.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan Lim esok.

Pada 12 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Lim untuk memindahkan kes itu.

Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya pada 16 Nov 2021.

Ahli Parlimen Bagan itu berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu pemilik Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan itu, yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, dijadual bersambung pada 19 Okt ini.

-- BERNAMA