LABUAN: Lebih 18,000 pemilik akaun atau lebih 60,000 penduduk di pulau bebas cukai ini sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang berpunca daripada kerosakan pam utama Pulau Enoe.

Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) dalam kenyataan berkata gangguan bekalan air di lebih 20 kampung dan taman perumahan itu bermula 7.30 petang Isnin (5 Jun).

BBAL berkata kerosakan itu mengakibatkan operasi tangki pengagihan utama Pulau Enoe dihentikan sementara sehingga pam utama itu dibaiki sepenuhnya.

Kawasan yang terjejas susulan penggantungan operasi itu ialah Kiamsam, Kampung Bebuloh, Kampung Belukut, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Bedaun dan Taman Mahkota Impian di Jalan Bukit Timbalai serta kawasan berdekatan.

Kampung Layangan, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan Kasim dan Pulau Akar, Kampung Bukit Kuda, serta kawasan di Kampung Bukit Kalam turut terkesan.

Kawasan lain yang terjejas ialah Kampung Durian Tunjong, beberapa kawasan di Jalan Penghulu Tuah, Kampung Lajau, Kampung Ganggarak, Kampung Merinding, Kampung Pohon Batu, Pancur Hitam, Kampung Batu Manikar, Tanjung Kubong, Kampung Lubok Temiang dan kawasan sekitar Pohon Batu.

BBAL berkata pihaknya akan menghantar tangki air di kawasan terbabit.

"BBAL akan memantau tahap perkhidmatan dan tangki pengimbang di kawasan terjejas dan akan memulihkan bekalan air secara berperingkat selepas pam utama dibaiki dan operasi di tangki air pengagihan utama Pulau Enoe berfungsi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA