KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan kerjasama kepada pihak PLUS bagi membolehkan bekalan elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang terganggu sejak malam semalam, dikembalikan sepenuhnya setelah kerja-kerja baik pulih oleh pihak PLUS selesai.

TNB dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan pengujian ke atas bekalan yang disalurkan TNB ke Jambatan Pulau Pinang pula mendapati kabel syarikat berada dalam keadaan baik dan bekalan di pihak TNB sedia untuk dibekalkan.

"TNB ingin memaklumkan hasil semakan dengan pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS), mendapati gangguan berpunca daripada pihak PLUS yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan," menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan pengguna di Jambatan Pulau Pinang terpaksa bergelap selepas jambatan utama menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan elektrik.

-- BERNAMA