Ringkasan AI
- Perdana Menteri mengarahkan pelaksanaan projek dan inisiatif Belanjawan 2027 bermula seawal 1 atau 2 Januari tanpa kelewatan.
- Kerajaan menekankan penggunaan peruntukan secara berkesan, menepati sasaran, serta menghargai sokongan Ahli Parlimen dalam meluluskan Belanjawan 2027.
- Majlis Sama’ Hadis at-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Kebangsaan 2026 diiktiraf sebagai penganjuran pertama oleh kerajaan, disertai lebih 40 ulama antarabangsa.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pelaksanaan projek dan inisiatif di bawah Belanjawan 2027 dimulakan seawal 1 atau 2 Jan depan tanpa sebarang kelewatan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata arahan itu dibuat bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dapat dibelanjakan dengan baik, berkesan dan menepati sasaran.
"Perdana Menteri juga telah menyatakan sebelum ini bahawa dari segi pelaksanaan, beliau tidak mahu berlengah dan telah mengarahkan supaya kerja-kerja apa yang telah dirancang boleh bermula seawal 1 atau 2 Jan 2027.
"Beliau amat menghargai komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terus diberikan keutamaan," katanya pada sidang media mingguan Kabinet di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen atas kerjasama dan sokongan dalam meluluskan Belanjawan 2027 semalam.
"Dari segi prosesnya sama ada perbahasan di peringkat dasar atau di peringkat jawatankuasa, banyak idea dan pandangan yang telah dilontarkan, maklum balas yang diterima.
"Sudah pasti bagi Kerajaan MADANI antara perkara yang akan menjadi keutamaan adalah untuk memastikan duit rakyat yang telah diluluskan untuk dibelanjakan pada 2027 akan dapat dilaksana (merangkumi) kerja dan usaha dengan baik, berkesan dan tepat pada sasarannya," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai penganjuran Majlis Sama’ Hadis at-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Masjid Putra, di sini dari 13 hingga 23 Nov lepas.
"Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa majlis seumpama ini merupakan majlis yang pertama dianjurkan oleh sebuah kerajaan di mana ulama yang hadir telah mengakui inilah kerajaan pertama yang bersedia untuk mengadakan majlis seumpama ini.
"Kita dah biasa dengan (majlis) khatam al-Quran dan hafazan, tapi untuk majlis sama' hadis, ini merupakan usaha pertama oleh sebuah kerajaan yang telah diiktiraf oleh ulama yang hadir," katanya.
Fahmi berkata majlis itu disertai lebih 40 ulama antarabangsa dan merupakan satu kebanggaan bagi negara.
Kemuncak program yang berlangsung selama 11 hari itu menyaksikan Perdana Menteri merasmikan Khatam Sama' Hadis Jami' al-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 pada 23 Nov lepas.
-- BERNAMA