Gara-gara sebatang rokok, seorang pelajar tingkatan lima maut setelah terjatuh dari balkoni sebuah hotel di sini dalam kejadian pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Hon Seong Yan,17, maut disyaki terjatuh ketika keluar ke balkoni hotel untuk menghisap rokok.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, daripada maklumat pensyarah pengiring, pelajar itu keluar ke balkoni kerana dilarang menghisap di dalam bilik berhawa dingin.

Katanya, Seong Yan adalah salah seorang daripada sekumpulan pelajar sebuah kolej di Petaling Jaya yang sedang mengikuti seminar keagamaan di hotel tersebut.

"Pensyarah tersebut masuk ke bilik seminar dan mendapati mangsa tiada di dalam bilik berkenaan. Seorang pelajar lain cuba mencari mangsa, namun gagal menemuinya.

"Sejurus kemudian, kawan-kawannya menjenguk keluar dari balkoni dan mendapati mangsa terbaring di hadapan lobi hotel dalam keadaan berlumuran darah," kata Kong Soon.

Tambah beliau, pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa dan polis telah membuka kertas siasatan mati mengejut.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di dalam kejadian ini dan mangsa dipercayai terjatuh semasa berada di balkoni yang sempit.

"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar mendapati punca utama kematian adalah kecederaan parah pada kepala," ujarnya lagi.

Kong Soon berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarganya bagi urusan pengkebumian.