Skip to main content

Malaysia

Gempa di Kundasang: Tiada kerosakan dilaporkan, keadaan terkawal - Bomba

Gempa bumi lemah landa Ranau, tiada gegaran dirasai - Bomba
JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan. - Gambar/ Sinar Harian

KOTA KINABALU: Tiada kerosakan struktur atau kecederaan dilaporkan susulan kejadian gempa bumi lemah di Kundasang, Ranau pada 3.02 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan operasi pemantauan dilaksanakan bermula 6.35 pagi tadi, melibatkan pemeriksaan di premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam di sekitar Pekan Ranau.

Advertisement

“Hasil makluman orang awam serta pemerhatian penjaga bangunan mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan setakat ini dan keadaan adalah terkawal serta selamat. Tiada laporan kecederaan atau insiden susulan diterima,” menurut kenyataan JBPM Sabah.

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan, manakala orang awam dinasihatkan supaya kekal tenang serta berwaspada selain mengelakkan memasuki bangunan yang diragui strukturnya.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti arahan rasmi daripada agensi keselamatan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Terdahulu, Jabatan Meterologi Malaysia menerusi laman web rasmi memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, kira-kira lapan kilometer barat laut dari Ranau.

Gempa bumi dengan magnitud 3.4 berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan gegaran mungkin dirasai di sekitar kawasan Ranau.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video