Skip to main content

Malaysia

Gen Z 'survival mode' di tempat kerja akibat tekanan ekonomi, geopolitik

51638931970_pekerjapejabat.jpg
Generasi muda kini memasuki pasaran pekerjaan jauh berbeza berbanding generasi terdahulu yang menikmati tempoh ekonomi lebih stabil. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Generasi Z (Gen Z) berdepan cabaran kompleks di tempat kerja apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi tidak menentu, antaranya melibatkan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat.

Exco Keusahawanan, Majlis Belia India Malaysia, Sharvin Siva Subramaniam berkata, generasi muda kini memasuki pasaran pekerjaan jauh berbeza berbanding generasi terdahulu yang menikmati tempoh ekonomi lebih stabil.

Advertisement

Menurutnya, Gen Z terpaksa berada dalam 'mod bertahan' (survival mode), bukan sahaja ketika bekerja tetapi juga dalam mengurus kos sara hidup harian.

"Masuk kerja Gen Z kena tunjuk mereka mampu sebab syarikat sekarang banyak kurangkan kos dan pekerja. 

"Gen Z sering jadi sasaran pertama untuk pemberhentian kerja kerana kurang pengalaman,” kata Sharvin dalam program Dialog Anak Muda, pada Jumaat.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik kepada Timbalan Menteri Ekonomi, Imran Zamil Najwah berpandangan walaupun cabaran itu nyata, Gen Z juga membawa pendekatan baharu yang boleh mengubah landskap tempat kerja.

Menurutnya, generasi ini cenderung kepada persekitaran kerja yang lebih fleksibel, kreatif dan seimbang, termasuk penggunaan teknologi serta elemen budaya digital dalam organisasi.

“Gen Z boleh bekerja dalam pelbagai keadaan, dan jika syarikat menggabungkan kreativiti mereka, persekitaran kerja boleh menjadi lebih dinamik dan relevan,” katanya.  

Tambahnya, isu keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) tidak sepatutnya lagi dianggap sebagai keistimewaan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada dasar organisasi moden.

“Kalau teknologi seperti AI boleh diadaptasi untuk kerja, kenapa tidak keseimbangan kerja dan fleksibiliti dijadikan sebahagian daripada polisi syarikat?” soalnya.

Must Watch Video