PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik resolusi baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung gencatan senjata serta-merta di Gaza, pada Isnin. 

Resolusi baharu itu turut menggesa pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan menghapuskan halangan menyalurkan bantuan kemanusian.

Ia dibuat ketika Kesatuan Eropah (EU) menggesa pemberhentian perang untuk tujuan kemanusiaan, meningkatkan tekanan ke atas Israel supaya menamatkan tempoh lima bulan pengebomannya ke atas wilayah Palestin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Malaysia sudah sekian lama menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memainkan peranan dan memenuhi tanggungjawab diamanahkan bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa termasuk melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel.

Pada masa sama, Malaysia turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya memastikan Israel berhenti daripada terus mencabuli undang-undang antarabangsa serta setiap elemen teras dalam hak rakyat Palestin

"Malaysia tetap komited kepada perjuangan Palestin dan akan terus berusaha untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin, serta menjadi ahli penuh PBB," kata kerajaan Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Perang yang meletus pada Oktober tahun lalu menyaksikan 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza bergelut dengan krisis kekurangan makanan yang semakin kritikal.

Pada Isnin, UNSC mengundi resolusi baharu gencatan senjata di Gaza.

Resolusi baharu itu dirangka selepas Russia dan China menggunakan kuasa veto mereka untuk membantah resolusi yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Pendirian majlis itu berbelah bahagi berhubung perang Israel-Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dan hanya meluluskan dua daripada lapan resolusi, kedua-duanya berkaitan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang musnah.

AS selaku anggota tetap UNSC dan sekutu utama Israel, menyokong hak rejim Yahudi itu untuk mempertahankan diri berikutan serangan mengejut Hamas, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.