KUALA LANGAT: Kegiatan kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Yoges yang bergiat aktif dalam jenayah samun sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan menerusi dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Banting pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kumpulan dianggotai dua suspek yang berumur 31 dan 46 tahun itu turut dipercayai menyamun seorang lelaki warga asing di Jalan Emas 2, Bandar Sungai Emas, Banting pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, tangkapan dijalankan susulan laporan yang diterima oleh seorang lelaki warga asing yang mendakwa beg silangnya yang mengandungi pelbagai barangan telah disamun.

"Tangkapan pertama dijalankan pada 29 Ogos kira-kira jam 12 tengah malam terhadap seorang lelaki tempatan di sekitar kawasan Banting.

"Hasil soal siasat yang dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek kedua kira-kira jam 5.15 petang di sekitar kawasan Banting pada 30 Ogos," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tangkapan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek turut menemui sejumlah barangan dan wang tunai disyaki hasil daripada kegiatan samun di sekitar kawasan Kuala Langat.

"Antara barangan yang dirampas adalah enam unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM640.

"Selain itu, turut dirampas adalah sebilah parang, sebilah pisau, sebuah topi keledar,sebuah motosikal dan sebatang anak kunci," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Siasatan mendapati kumpulan ini telah aktif sejak tiga bulan lalu. Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, empat kes samun di kawasan Kuala Langat telah berjaya diselesaikan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sinar Harian