KOTA KINABALU: Kenaikan dalam Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah ketika ini adalah peningkatan dan tawaran yang lebih baik berbanding formula pemberian khas yang dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam kenyataan semalam berkata kerajaan PH telah menawarkan dan mengumumkan secara terbuka Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak, menggandakannya kepada RM53.4 juta bagi Sabah dan Sarawak sebanyak RM32 juta bagi tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, dalam satu kenyataan bersama semalam, berkata geran khas baharu untuk Sabah meningkat 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi 2022.

Ongkili berkata formula pemberian khas oleh PH sebelum ini ditolak oleh kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang dan kerajaan negeri berjaya mendapatkan formula yang lebih adil sambil memenuhi tuntutan rakyat Sabah.

"Kami bangga kerana isu ini bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan Persekutuan, tetapi kami telah mencapai persetujuan yang lebih baik iaitu 135 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang dijanjikan PH dan (perjanjian ini) telah (juga) diterima secara terbuka oleh kerajaan negeri pimpinan Warisan (ketika itu).

"Kami meningkatkan jumlah tahunan Sabah kepada lebih tiga kali ganda (RM125.6 juta)," katanya sambil menambah keputusan itu dibuat selepas kerajaan Persekutuan dan negeri mencapai kata sepakat untuk mengkaji semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Sementara itu, Ongkili juga berkata beliau yakin kedua-dua kerajaan, Persekutuan dan negeri juga akan mencari titik persamaan dan formula terbaik bagi peruntukan 40 peratus dalam perlembagaan yang akan memenuhi tuntutan kerajaan Sabah.

"Saya tidak akan mengulas banyak kerana satu kenyataan bersama akan dikeluarkan mengenai perkara itu oleh kerajaan Sabah dan Kementerian Kewangan Persekutuan," kata Ongkili.

Beliau berkata selain pemberian geran khas itu, mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Ismail Sabri semalam turut meluluskan secara prinsip pembahagian kuasa mengenai alam sekitar, buruh dan pemulangan tanah persekutuan yang terbiar kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA