Skip to main content

Sukan

Sivasangari tamat kemarau 13 bulan, juara Terbuka Australia

Squash Racquets Association of Malaysia
Kejayaan ini juga menamatkan penantian Sivasangari sejak Februari tahun lepas apabila muncul juara Piala Cincinnati Gayor. - Facebook Squash Racquets Association of Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 bulan dengan penuh bergaya apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni untuk merangkul gelaran Terbuka Australia 2026 di Brisbane, hari ini.

Pemain pilihan utama kejohanan itu mempamerkan aksi dominan pada kejohanan berstatus emas Persatuan Skuasy Profesional (PSA) apabila hanya memerlukan 28 minit untuk menundukkan piliha ketujuh itu dengan keputusan 11-7, 11-4, 11-8.

Advertisement

Kejohanan tersebut menawarkan hadiah jumlah wang tunai AUD131,000 (RM360,575).

Kemenangan terbaharu itu turut meneruskan rekod cemerlang pemain nombor enam dunia  itu ke atas Stefanoni, pemain nombor 19 dunia, selepas pernah menewaskan pemain Amerika itu pada Terbuka Carol Weymuller 2022 serta Kejohanan Dunia PSA musim 2022-2023. 

Kejayaan ini juga menamatkan penantian Sivasangari sejak Februari tahun lepas apabila muncul juara Piala Cincinnati Gayor selepas menewaskan pemain Mesir, Amanda Sobhy 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4.

Terdahulu, pemain berusia 27 tahun itu menempah slot ke pentas final selepas menewaskan pilihan keempat dari Belgium, Nele Gilis 11-8, 13-11, 11-4 pada aksi separuh akhir.

— BERNAMA

Must Watch Video