PUTRAJAYA: Kementerian Digital memulakan Inisiatif Inovasi Kerajaan (GII), usaha strategik negara untuk memacu inovasi merentasi sektor awam dan mempercepat matlamat Malaysia mencapai status Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
GII memberi tumpuan kepada mengubah cabaran sebenar kerajaan dan rakyat menjadi penyelesaian yang boleh digunakan, mengutamakan teknologi Buatan Malaysia, memperkukuh ekosistem AI domestik dan membantu syarikat digital dan AI tempatan berkembang di dalam dan luar negara.
Advertisement
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sejajar dengan usaha ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan melancarkan projek perintis GII, inisiatif RadioConnect, di tiga hospital awam.
“RadioConnect bertujuan untuk menyediakan sambungan berasaskan awan secara sistematik dan cekap dengan akses selamat merentasi pelbagai penyedia di seluruh negara melalui Sistem Pengarkiban dan Komunikasi Gambar (PACS) setiap hospital.
“Objektif RadioConnect adalah untuk memudahkan dan menyelaraskan keseluruhan proses bagi menyediakan storan elektronik, pengambilan dan perkongsian imej diagnostik seperti sinar-X, MRI dan imbasan CT dengan membenarkan doktor dan pengamal perubatan yang diberi kuasa untuk mengakses imej pesakit daripada pelbagai jabatan di semua hospital di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fasa GII seterusnya melibatkan penubuhan Citizen Labs, platform kolaboratif untuk orang ramai mengemukakan isu dan maklum balas dunia sebenar secara langsung kepada kementerian berkaitan, bagi memastikan penyelesaian yang disasarkan dan berkesan untuk rakyat.
Teras kepada misi ini ialah portal MyInovasi (myinovasi.gov.my), platform utama Malaysia untuk memupuk ekosistem inovasi yang dinamik.
Gobind berkata bagi menyokong objektif GII, Futurise Sdn.Bhd kini akan beralih untuk beroperasi di bawah MDEC yang akan meneruskan projek GII melalui rangka kerja National Regulatory Sandbox.
"GII bukan sekadar tentang menerima pakai teknologi baharu tetapi membina sektor awam yang berdaya tahan pada masa depan yang responsif, cekap dalam kebolehan tempatan.
“Melalui GII, kita meningkatkan komunikasi, menghapuskan halangan dan menyatukan aset inovasi negara di bawah satu ekosistem yang padu. Dengan Citizen Labs, kita mewujudkan perancangan langsung di yang menggabungkan cabaran rakyat dengan penyelesaian AI buatan Malaysia, mempercepat transformasi kita menjadi negara digital terkemuka menjelang 2030,” katanya.
-- BERNAMA