Skip to main content

Malaysia

Glocal Travel perkenal aplikasi pintar bantu urus jemaah haji di Tanah Suci

Mohd Idzham (tiga dari kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan Usahasama dan Kerjasama kepada Ikon dan Pembimbing Jemaah Haji Glocal 1448H/2027M, Badli Shah (tiga dari kanan) dan barisan pembimbing utama Glocal Travel pada Majlis Pelancaran Pakej Haji Musim 1448H/2027 di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Mohd Idzham (tiga dari kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan Usahasama dan Kerjasama kepada Ikon dan Pembimbing Jemaah Haji Glocal 1448H/2027M, Badli Shah (tiga dari kanan) dan barisan pembimbing utama Glocal Travel pada Majlis Pelancaran Pakej Haji Musim 1448H/2027 di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) memperkenalkan aplikasi pengurusan pintar, Glocal Pilgrims Alert, bagi membantu memudah cara komunikasi, pergerakan dan pengurusan jemaah Malaysia sepanjang musim Haji 1448H/2027M.

Inisiatif itu dilancarkan seiring pengumuman Glocal Travel sebagai salah sebuah agensi penerima Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji akan datang oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa berkata, pengurusan haji masa kini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh yang menggabungkan bimbingan rohani, kecekapan logistik serta sokongan operasi berterusan.

"Untuk Musim Haji 1448H, fokus kami bukan sekadar menawarkan pakej, sebaliknya menyediakan pengalaman perjalanan haji yang tersusun daripada persediaan sebelum berangkat, bimbingan ibadah, penginapan hinggalah pengurusan di Tanah Suci dan fasa Mashair.

"Prinsip kami mudah, jemaah fokus sepenuhnya kepada ibadah manakala urusan perjalanan kami bantu kendalikan," katanya pada majlis pelancaran pakej haji syarikat itu di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre, pada Sabtu.

Menurut beliau, aplikasi Glocal Pilgrims Alert dibangunkan bagi menyampaikan pelbagai maklumat penting secara masa nyata termasuk jadual pergerakan, lokasi perhimpunan dan notis operasi terus kepada jemaah.

Selain itu, aplikasi berkenaan turut menawarkan fungsi penjejakan lokasi dengan persetujuan pengguna bagi membantu petugas mengesan jemaah yang terpisah daripada kumpulan ketika berada di Makkah dan Madinah.

Mohd Idzham berkata, penggunaan teknologi itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi tanpa mengurangkan sentuhan kemanusiaan dalam pengurusan jemaah.

"Teknologi berfungsi sebagai alat sokongan kepada petugas di lapangan. Maklumat penting tetap disalurkan melalui saluran mesra pengguna seperti notifikasi ringkas dan WhatsApp.

"Teknologi membantu operasi, namun sentuhan kemanusiaan dan keprihatinan petugas tetap menjadi keutamaan," katanya.

Pada majlis sama, Glocal Travel turut memperkenalkan empat pilihan pakej haji bagi musim 1448H iaitu Pakej Elaf Eksklusif, Pullman Clock Tower ECO, Pullman Clock Tower Premium dan Pullman Private yang disasarkan kepada pelbagai keperluan serta kemampuan bakal jemaah.

Bagi memperkukuh keselesaan sepanjang fasa kritikal ibadah di Mashair, syarikat itu turut menawarkan Perkhidmatan Mashair Naik Taraf (PMN) yang merangkumi kemudahan khemah yang dipertingkatkan, ruang solat dan makan yang lebih selesa serta penyelarasan pengangkutan yang lebih efisien.

Dalam aspek bimbingan ibadah, Glocal Travel turut menampilkan barisan pembimbing dan penasihat syariah berpengalaman termasuk Datuk Dr Ustaz Badli Shah Alauddin, Prof Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah, Ustaz Abdul Fatah Awang, Ustaz Muhidin Mokter dan personaliti dakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Selain bimbingan bersemuka, setiap jemaah juga akan menerima panduan secara komunikasi langsung ketika melaksanakan ibadah tawaf dan saie bagi membantu mereka memahami serta menyempurnakan rukun haji dengan lebih yakin.

Mohd Idzham dalam pada itu mengingatkan bakal jemaah supaya membuat persiapan awal meliputi aspek kesihatan fizikal, mental dan kefahaman ilmu ibadah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"Ibadah haji memerlukan persediaan yang rapi. Peranan kami adalah memastikan perjalanan jemaah berjalan dengan tenang, selamat dan teratur agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah," katanya.

Must Watch Video

Advertisement