Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GoAuto) telah membuka Pusat Servis 4S (Jualan, Servis, Alat ganti, Semburan Cat) yang pertama dengan jumlah pelaburan RM2.5 juta dengan ketersediaan lengkap untuk memenuhi permintaan para pelanggannya yang semakin bertambah.

Pusat 4S seluas 4 ekar itu merupakan pusat pertama seumpamanya di Asia milik GoAuto yang menjual, ,menjalankan perkhidmatan servis dan membaik pulih, membekal alat ganti dan aksesori, dan penyemburan cat untuk pelbagai model kenderaan di bawah kumpulan syarikat GoAuto. Model-model kenderaan yang dijual di pusat itu termasuklah Great Wall M4, Haval SUV, dan trak pikap Wingle.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed merasmikan Pusat 4S GoAuto disertai oleh Encik Ahmad Azam Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, Pengarah Eksekutif GoAuto dan Mohamad Madani Bin Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia.

Pusat servis GoAuto terbaru ini memaparkan 15 tapak servis yang mampu menjalankan servis komprehensif dan membaik pulih mengikut penyenggaraan berjadual dan juga servis utama serta kerja-kerja ‘overhaul’. Sebanyak 420 buah kenderaan dapat diselenggara setiap bulan.

“Kami akan membuka 65 buah Pusat 4S lagi di seluruh negara untuk mengukuhkan rangkaian servis kami serta meneruskan komitmen kami untuk memberikan para pelanggan kami perkhidmatan berkualiti terbaik dari saat mereka melangkah masuk ke pusat jualan kami sehinggalah kepada perkhidmatan selepas jualan,” kata Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, pengarah eksekutif GoAuto.

Sejak diperkenalkan kepada pasaran, M4 terus menjadi tarikan rakyat Malaysia dengan 2500 tempahan kedua-dua model transmisi manual (MT) dan automatic (AMT) dengan harga diantara RM49,739 dan RM62,759.

GWM merupakan pengeluar terbesar SUV dan pikap di China dan tersenarai di Hong Kong dan Shanghai. Ia memiliki jenama Haval dan Great Wall serta mempunyai 30,000 orang pekerja, GWM mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 2,000,000 unit dan menjual lebih daripada 700,000 unit pada tahun lepas, menjadikannya pengeluar automotif ke lapan terbesar di China dengan Haval berada di tangga pertama SUV China mengikut jualan pada tahun 2014.