KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengingatkan golongan berisiko supaya tidak terdedah terlalu lama pada cuaca panas dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri ini bagi mengelak strok haba.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, golongan warga emas, mereka yang mempunyai penyakit dan kanak-kanak berisiko terdedah kepada strok haba.

"Pada hari raya ini sudah pasti ada banyak aktiviti luar berlaku terutama melibatkan kanak-kanak, jadi kita mohon semua orang beringat mengenai keadaan cuaca panas ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Justeru beliau berkata, ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pendedahan kepada cuaca panas dalam jangka masa lama boleh menyebabkan suhu badan meningkat, pening atau sakit kepala, mual serta keletihan yang melampau.

Dr Zaini berkata sebagai langkah pencegahan kes berkenaan, JKNK memberikan penerangan melalui media sosial selain memaparkan klip video di klinik-klinik kesihatan daerah mengenai bahaya strok haba.

Jumaat lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan berlaku melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan, menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang. - BERNAMA