Rakyat jelata khususnya masih berduka dengan pemergian Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang mangkat pada 8.50 pagi Selasa di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebagai menzahirkan rasa kasih terhadap Almarhum, hari ini ribuan orang awam daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka memenuhi Istana Sultan Abu Bakar, Pekan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Jenazah Paduka , Sultan Ahmad Shah.

Istiadat penghormatan terakhir untuk orang awam itu bermula malam tadi (Rabu) hingga jam 11 pagi hari ini (Khamis).


Sementara, bagi istiadat penghormatan terakhir untuk tetamu kenamaan akan bermula jam 11 pagi sebelum jenazah Almarhum dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan untuk disolatkan.

Dari Istana Sultan Abu Bakar, jenazah Almarhum akan dibawa bersemayam di atas pedati Diraja oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Selepas solat jenazah dilakukan, jenazah kemudian akan diiring ke Makam DiRaja Pekan untuk Istiadat Pemakaman.

Bendera Malaysia perlu dikibarkan separuh tiang mulai Rabu hingga hari ini bagi menghormati kemangkatan Almarhum baginda.

Media tempatan melaporkan beberapa jalan utama di daerah Pekan akan ditutup bagi melancarkan pergerakan ke Makam Diraja Pekan untuk Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Terdahulu, dilaporkan sehingga Sabtu ini sebarang bentuk acara hiburan tidak dibenarkan dan Majlis Tahlil selama tiga malam di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Pahang.


Orang awam akan berkabung selama 40 hari, manakala bagi kerabat Diraja Pahang selama 100 hari.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zohor pada Khamis.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.