APOKALIPS industri teknologi belum berakhir dengan proses pengurangan tenaga kerja yang dimulakan pada tahun 2022 melarat ke tahun 2024.

Semalam Google telah membuang lebih 1000 pekerja dalam proses penyusunan semula bahagian peranti dan perkhidmatan mereka.

Antara yang menjadi korban ialah pengasas Fitbit James Park dan Eric Friedman.

Ratusan jawatan telah dimansuhkan pada bahagian perkakasan Pixel, Nest dan Fitbit.

Ini adalah usaha Google untuk menggabungkan pasukan rekaan perkakasan mereka di bawah satu payung sekali gus mengurangkan penggandaan tugas dalam organisasi.

Turut terkesan ialah bahagian realiti terimbuh (AR) dengan majoriti kakitangan telah dipecat.

Google mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka masih komited kepada pembangunan AR pada waktu ini.

Sebelum ini Google, Samsung dan Qualcomm mengumumkan akan membangunkan set kepala AR yang kemudiannya ditangguh sejurus selepas Apple Vision Pro diumumkan.

Melihat perkembangan semasa seperti menggantikan Nearby Share kepada Quick Share serta bekerjasama dengan Samsung untuk Wear OS, ini mungkin petanda Google lebih selesa bekerjasama dan tidak lagi membangunkan ciri secara kendiri.

Masa depan Fitbit turut kelihatan kelam dengan jualan penjejak kesihatan ini ditarik dari beberapa pasaran termasuk Malaysia.

Selepas diambil alih Google dilihat hanya berminat kepada teknologi Fitbit tanpa usaha untuk meneruskan jualan produk secara lebih serius. -Amanz