PUTRAJAYA: Government Technology atau GovTech Malaysia diwujudkan bagi memperhebat revolusi digital ke arah meningkatkan keupayaan kerajaan dalam kualiti data awam, inovasi awam serta perkhidmatan awam secara lebih holistik, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata GovTech Malaysia merupakan pendekatan "Whole of Government" dalam pemodenan sektor awam, yang menekankan kepada tiga aspek iaitu berpaksikan rakyat; akses universal kepada perkhidmatan kerajaan; dan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap transformasi kerajaan digital yang dipelopori oleh Bank Dunia.

Berucap pada Persidangan Digital Sektor Awam 2023 di sini hari ini, Mohd Zuki berkata usaha mewujudkan GovTech Malaysia pasti memberi kesan positif kepada GovTech Maturity Index (GTMI) yang mula diperkenalkan pada 2020 melibatkan 198 negara.

Menurutnya berdasarkan Laporan GovTech Maturity Index, 2022 Update: Trends in Public Sector Digital Transformation, Malaysia dikategorikan dalam kumpulan "A" atau "GovTech Leaders" yang berada dalam kumpulan indeks "Sangat Tinggi".

"Indeks ini sudah pasti akan menjadi penanda aras oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kompetensi negara dari perspektif pendigitalan," katanya yang berharap warga perkhidmatan awam sentiasa berusaha untuk menempatkan Malaysia sebagai peneraju pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan di pentas dunia.

Mohd Zuki berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan bahawa kerajaan akan memulakan revolusi digital dengan memudah cara penyampaian perkhidmatan melalui pemanfaatan sepenuhnya agenda pendigitalan ke tahap tertinggi.

"Ini adalah satu "tall order" yang menjadi pendorong kepada usaha memecut agenda pendigitalan yang telah direncanakan," katanya.

Mengenai era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Mohd Zuki berkata kemunculan teknologi baharu seperti Metaverse, Blockchain, Kecerdasan Buatan (Al), Machine-to-Machine (M2M) dan Internet-of-Everything (IoE) telah mengubah cara dunia beroperasi.

Sebagai persediaan menghadapi realiti baharu itu, beliau berkata kerajaan telah merangka dasar-dasar yang menyediakan ekosistem serta menyokong pemerkasaan pendigitalan seperti Dasar 4IR Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Beliau berkata usaha itu digerakkan melalui Kluster Kerajaan di bawah Majlis Ekonomi Digital dan 4IR negara yang menerajui inisiatif untuk memacu pendigitalan dalam sektor awam.

-- BERNAMA