Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tingkat kerjasama dengan GLC dan GLIC, perluas perlindungan sosial - Amir Hamzah

Amir Hamzah ketika berucap pada Majlis Pengumuman Komitmen Impak Sosial CIMB 2026-2030 di ibu negara, hari ini. - Foto Bernama
Amir Hamzah ketika berucap pada Majlis Pengumuman Komitmen Impak Sosial CIMB 2026-2030 di ibu negara, hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan memperkukuh kerjasama dengan GLC dan GLIC untuk memperluas perlindungan sosial dan meningkatkan taraf hidup komuniti rentan selaras agenda Ekonomi MADANI.
  • Melalui inisiatif GDRN, sebanyak RM357.85 juta telah disalurkan untuk program bantuan bencana, kesejahteraan komuniti dan pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat.
  • CIMB mengumumkan komitmen RM150 juta untuk program impak sosial, sebahagian daripada RM200 juta serantau, menyasarkan lebih 150,000 penerima manfaat menjelang 2030.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memperluas jaringan perlindungan sosial, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah.

Beliau berkata usaha itu juga bertujuan meningkatkan peluang ekonomi serta menaikkan taraf hidup komuniti rentan selaras dengan agenda Ekonomi MADANI.

"Pembangunan komuniti hanya dapat dilaksanakan apabila pelbagai pihak berganding bahu dengan matlamat sama. Semangat inilah menjadi asas kerjasama kerajaan dengan GLC dan GLIC melalui inisiatif GLC dan GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

Advertisement

"Inisiatif ini bermula sebagai usaha ketika berdepan bencana khususnya banjir dan kini berkembang menjadi platform lebih menyeluruh dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Komitmen Impak Sosial CIMB 2026-2030 di sini, hari ini.

Memetik laporan Yayasan Hasanah 2025, Amir Hamzah berkata ahli-ahli GDRN telah menyalurkan sejumlah RM357.85 juta bagi pelbagai program bantuan bencana, kesejahteraan komuniti dan pendidikan yang terbukti memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat Malaysia di seluruh Semenanjung.

Advertisement

Berdasarkan kejayaan itu, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang menekankan usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial, memperluas akses kepada peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan rentan.

Beliau berkata ini sejajar usaha kerajaan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh lapisan masyarakat dan menumpukan beberapa bidang keutamaan dengan impak jangka panjang dan berdaya tahan kepada masyarakat. 

Fokus pertama adalah memperkukuh ekonomi penjagaan dan kesejahteraan komuniti melalui akses yang lebih baik kepada penjagaan kanak-kanak, sokongan kepada orang kurang upaya (OKU), kesihatan komuniti serta penjagaan warga emas yang tidak hanya meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah mengalakkan penyertaan ekonomi dan produktiviti tenaga kerja rakyat.

"Kedua, memperluas peluang meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan dan peluang pekerjaan bagi membangunkan kemahiran, membina kerjaya serta meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

“Aspek ketiga pula memperkukuh daya tahan komuniti dan kelestarian alam sekitar. Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, kita perlu memastikan komuniti terus berdaya tahan dan sumber alam yang kita warisi dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, CIMB Group Holdings Bhd memaklumkan telah menggerakkan sejumlah RM5 juta menerusi pelaksanaan 17 program di empat komuniti angkatnya di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Jumlah itu melangkaui komitmen asalnya sebanyak 38.6 peratus.

Institusi kewangan itu turut mengumumkan komitmen RM150 juta yang menjadi sebahagian daripada komitmen lebih besar berjumlah RM200 juta di peringkat serantau bagi mewujudkan impak sosial positif kepada lebih 150,000 penerima manfaat di Malaysia menjelang 2030.

“Komitmen ini merangkumi keseluruhan rangkaian program komuniti CIMB di seluruh negara menerusi platform impak sosial selain usaha menggerakkan dana Zakat Wakalah berjumlah RM25 juta,” maklum CIMB.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement