MACHANG: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membuat keputusan besar untuk keluar daripada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan menyertai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Keputusan sebulat suara dibuat selepas usul dipersetujui pada Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali Ke-72 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang di sini pada Jumaat.
Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan had umur belia 30 tahun yang didakwa menjejaskan keupayaan GPMS menjalankan fungsi serta peranan asalnya sebagai pertubuhan yang memperjuangkan agenda pendidikan dan kepentingan pelajar Melayu.
Beliau berkata, GPMS bukan ditubuhkan sebagai pertubuhan belia, sebaliknya mempunyai sejarah penubuhan sejak 1948 dengan fokus terhadap pendidikan dan pelajar Melayu.
“Apabila had umur diturunkan, GPMS tidak lagi mampu menjalankan fungsi sebagaimana tujuan penubuhannya mengikut perlembagaan dan sebagaimana ia ditubuhkan pada 1948.
“Jadi, keputusan hari ini ialah keluar daripada ROY dan menyertai RoS. Itu perkataan yang kita sepakati dalam mesyuarat hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas persidangan berkenaan.
Persidangan selama dua hari berkenaan disertai 152 perwakilan daripada 12 negeri.
Menurutnya, keputusan itu tidak bermaksud GPMS menolak peranan golongan muda dalam pertubuhan itu, sebaliknya mahu memastikan pemimpin berpengalaman masih mempunyai ruang untuk memperjuangkan dasar pendidikan dan menyuarakan kepentingan pelajar Melayu.
Katanya, kira-kira 60 peratus kepimpinan kebangsaan GPMS ketika ini terdiri daripada individu berusia bawah 30 tahun, namun golongan berusia lebih 30 tahun masih diperlukan bagi menggerakkan organisasi pada peringkat negeri, cawangan dan kebangsaan.
“Isunya ialah bagaimana individu bawah 30 tahun yang masih belajar, baru bekerja dan membina kerjaya hendak mengemudi cawangan, negeri dan kebangsaan secara sepenuh masa.
“Mereka masih boleh memimpin dan menjalankan kerja sukarelawan, tetapi GPMS lebih kepada polisi dan dasar kerajaan serta perlukan kepimpinan yang mempunyai pengalaman untuk membawa suara itu kepada kerajaan,” katanya.
Muhd Fazreen Ismadi berkata, had umur berkenaan turut dikhuatiri menyebabkan GPMS semakin didominasi golongan yang mempunyai kedudukan ekonomi lebih stabil kerana tidak semua anak muda pada usia 25 hingga 30 tahun mempunyai masa dan kemampuan untuk memberi tumpuan kepada kerja pertubuhan.
Beliau berkata, langkah berkenaan juga bertujuan mengembalikan GPMS kepada fungsi asalnya sebagai pertubuhan pendidikan dan bukan semata-mata pertubuhan belia.
“GPMS tidak ada perkataan belia dalam perlembagaan. Prinsip kita ialah pendidikan dan pelajar Melayu. Selagi seseorang itu terlibat dengan pendidikan atau menjadi aktivis yang membawa agenda pendidikan, dia adalah sebahagian daripada GPMS.
“Jadi, apabila umur dihadkan, tujuan asal GPMS itu menjadi terhad,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, GPMS akan memulakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menentukan proses dan tarikh pelaksanaan pendaftaran di bawah RoS.
“Selepas mandat diberikan perwakilan, kepimpinan kebangsaan, khususnya Setiausaha Agung dan kepimpinan tertinggi akan berjumpa pihak Kementerian Dalam Negeri serta Ketua Pengarah RoS untuk mendapatkan gambaran proses yang perlu dilalui,” katanya. - Sinar Harian