MALAYSIA
Graduan TVET perlu miliki nilai murni, tanggungjawab sosial dan semangat patriotisme - Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-17 dan Kolej Komuniti Arau 2025 di Dewan Harumanis PTSS, hari ini. - Foto BERNAMA
ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memupuk nilai murni dan sikap tanggungjawab sosial serta semangat patriotisme yang tinggi untuk menyumbang kepada masyarakat, negeri dan tanah air tercinta.
Baginda bertitah selain mencipta kejayaan sendiri setiap graduan perlu menjadi warganegara yang berilmu dan berakhlak mulia serta berintegriti dan berdisiplin kerana generasi TVET berperanan besar dalam agenda pembangunan negara.
"Saya juga ingin menekankan pentingnya amalan pembelajaran sepanjang hayat. Ilmu pengetahuan sentiasa berkembang, teknologi terus berubah dan hanya mereka yang sanggup belajar serta menyesuaikan diri dengan perubahan akan terus kekal relevan," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-17 dan Kolej Komuniti Arau 2025 di Dewan Harumanis PTSS di sini hari ini.Turut berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pada era Revolusi Industri 4.0, dunia pekerjaan berubah dengan begitu pantas dan kemahiran tradisional semata-mata tidak lagi memadai.
"Sebaliknya, kemahiran baharu seperti automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat (IT), tenaga boleh baharu serta inovasi dalam keusahawanan semakin mendapat permintaan dalam industri," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda bertitah tenaga kerja mahir yang dilahirkan institusi seperti PTSS dan Kolej Komuniti Arau akan membantu negara ke arah membina infrastruktur moden, memperkasa industri digital dan memperkukuh sektor kejuruteraan serta memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan lestari.
"Saya juga menyeru kepada semua yang berada di dewan ini (Dewan Harumanis) untuk sama-sama menyemarakkan budaya ilmu demi memartabatkan institusi pendidikan khususnya di Perlis, negeri yang berdaulat.
"Semoga para graduan terus melangkah dengan penuh keyakinan, menjunjung ilmu, mengamalkan nilai murni serta bersedia menjadi generasi TVET yang benar-benar menjadi pemacu kemajuan negara," titah baginda.
Sebanyak 1,116 graduan diraikan dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung tiga hari hingga Khamis ini dengan melibatkan empat sidang yang merangkumi program sijil, diploma dan asasi daripada pelbagai jurusan.
Graduan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Nur Shafinaz Mohd Noor, 25, menerima Anugerah Kecemerlangan Khas atas pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa yang disampaikan Pengarah PTSS Khairul Anuar Ishak pada majlis konvokesyen hari ini.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami