Skip to main content

Malaysia

GRIP perkukuh pendidikan perpaduan dalam kalangan generasi muda

Aaron Ago Dagang
Aaron berkata sepanjang tahun ini, siri GRIP turut melibatkan murid sekolah rendah dan pelajar menengah dalam pelaksanaannya di Sabah, Kedah, Johor, Terengganu, Selangor dan Sarawak. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KOTA KINABALU: Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) terus diperkasakan sebagai wadah membina kefahaman, memperkukuh hubungan silang budaya dan menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program itu menumpukan kepada tiga kluster utama iaitu Kluster Kenegaraan; Kluster Budaya dan Adat Resam; serta Kluster Nilai-Nilai Murni: Sivik dan Moral.

“GRIP dilaksanakan sebagai antara wadah untuk membina kefahaman, memperkukuh hubungan silang budaya, menyemai semangat kenegaraan serta membentuk generasi muda yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap perpaduan negara,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis penutupan GRIP Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah di sini, Sabtu malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud.

Aaron berkata GRIP Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 23 Ogos menghimpunkan 200 pelajar sekolah menengah daripada pelbagai etnik dan latar belakang yang mewakili seluruh negara.

Beliau berkata Kluster Kenegaraan membantu murid memahami identiti sebagai rakyat Malaysia dengan memberikan penekanan kepada Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, sejarah pembentukan Malaysia, identiti nasional serta hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Kluster Budaya dan Adat Resam membantu pelajar memahami rakan-rakan. Melalui seni, pakaian, makanan, warisan, permainan dan persembahan budaya, peserta diberi ruang untuk mengenali dan menerima keunikan masyarakat Malaysia,” katanya.

Kluster Nilai-Nilai Murni pula membentuk cara generasi muda bertindak dan hidup bersama dengan menekankan tanggungjawab, empati, komunikasi berhemah, keprihatinan, kerjasama dan nilai sivik dalam kehidupan di sekolah serta komuniti, katanya.

Aaron berkata sepanjang tahun ini, siri GRIP turut melibatkan murid sekolah rendah dan pelajar menengah dalam pelaksanaannya di Sabah, Kedah, Johor, Terengganu, Selangor dan Sarawak.

“Setiap siri memberi ruang kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk belajar, berinteraksi dan membina hubungan melalui pengalaman bersama,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara akan memperluas pelaksanaan GRIP tahun depan menerusi GRIP @ Prasekolah, GRIP @ Murid dan GRIP @ Komuniti.

“Pendekatan ini membolehkan nilai perpaduan diterapkan sejak usia awal, diperkukuh dalam kalangan pelajar dan seterusnya diperluas kepada masyarakat termasuk pemimpin komuniti pelbagai etnik dan agama. Kesemua usaha ini selari dengan mandat Kementerian Perpaduan Negara dalam RMK13 (Rancangan Malaysia ke-13),” katanya.

Pada majlis itu, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan GRIP Murid Sekolah sebagai rujukan rasmi pentadbir sekolah, guru dan fasilitator di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement