PUTRAJAYA: Kesemua 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah dibebaskan semalam dan kini berada dalam keadaan selamat di Istanbul, Turkiye, menurut Kementerian Luar.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa rakyat Malaysia itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke tanah air.
Mereka dijangka tiba di Malaysia pada Ahad (24 Mei).
“Kerajaan Malaysia turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Turkiye atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang proses pembebasan serta kepulangan mereka dengan selamat,” menurut Wisma Putra.
Kementerian itu turut memuji komitmen teguh yang ditunjukkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta pasukan Sumud Nusantara.
Menurut Wisma Putra, walaupun flotila kemanusiaan itu dihalang daripada tiba di Gaza, misi berkenaan telah berjaya meningkatkan kecaman antarabangsa terhadap sekatan haram rejim Zionis Israel ke atas Gaza, Palestin.
Kementerian itu memaklumkan Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha diplomatik bersama rakan antarabangsa dalam menjunjung prinsip kemanusiaan serta memperkukuh solidariti global ke arah penubuhan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
-- BERNAMA