Lebih banyak syarikat mengumumkan penurunan harga kenderaan mereka, berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) hari ini.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Mercedes-Benz, Perodua dan Sime Darby Auto Connexion telah mengurangkan harga sehingga RM10,000 sejajar dengan cadangan kerajaan dan Akta Anti-Pencatutan 2011.

Sime Darby Auto Connexion, pengedar kenderaan Ford, menurunkan harga Ranger 3.2 XLT 4+4 Automatic kepada RM110,504.80 daripada RM110,506.45 sebelum ini, manakala S-Max 2.0 dikurangkan kepada RM198,833.41 berbanding 198,933.90 sebelum CBP.

Harga kereta Mercedes-Benz dijual di Malaysia turun sebanyak RM10,000 berbanding sebelum CBP.
"Kami gembira untuk mengumumkan yang harga kereta kami telah dikurangkan berikutan pelaksanaan CBP.

"Ini mematuhi sepenuhnya cadangan kerajaan dan Akta Anti-Pencatutan 2011 dan demi kepentingan pengguna, kami akan terus menawarkan perkhidmatan dan kualiti terbaik," kata Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine.

Selepas enam peratus CBP mulai hari ini, harga Mercedes-Benz E300 Blue TEC Hybrid turun 2.87 peratus kepada RM338,888 daripada RM348,888 (tanpa insurans).

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd mengumumkan ia mengurangkan harga kenderaan sebanyak 0.3 peratus hingga dua peratus untuk model terurai sepenuhnya, walaupun harga model siap dipasang kekal tidak berubah.

Pengeluar kereta tempatan, Perodua mengurangkan harga keretanya di antara 0.1 dan 1.6 peratus, tetapi harga alat ganti tidak berubah.

Bagaimanapun, Volkswagen Malaysia mengekalkan harga jualan bersihnya (tidak termasuk kos atas jalan dan insurans), termasuk CBP.

Sebelum ini, semua kereta baharu tertakluk kepada 10 peratus cukai jualan ke atas Harga Jualan Diluluskan Kerajaan.

Bagaimanapun, rejim cukai jualan itu dihapus dan diganti dengan enam peratus CBP, iaitu cukai nilai tambah, cukai yang dibayar ke atas nilai yang ditambah kepada produk atau perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan GST, sila layari gst.astroawani.com.