"Dia seorang anak yang baik dan rajin... sering membantu saya berniaga."

Itu merupakan keluhan hati bapa Cheah Guo Jun, Cheah Jing Hua ketika ditemui di pekarangan pusat pengkebumian Teluk Intan petang Jumaat.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan pusat pengkebumian itu petang ini apabila ahli keluarga dan beberapa rakan karib mangsa mengambil peluang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Jing Hua berkata, beliau tidak menyangka bahawa permintaan terakhir anaknya untuk bermalam dan meluangkan masa di rumah rakan-rakannya merupakan petanda anaknya akan pergi buat selamanya.

"Mendiang memberitahu saya dan isteri bahawa dia ingin menghabiskan masa selain tidur di rumah rakan karibnya.

"Pada mulanya, kami berasa hairan kerana ini pertama dia ingin tidur di rumah kawannya tetapi kami tidak membantah," katanya dalam keadaan sayu.

Bagi ibu mangsa, Ng Yue Hua pula, dia masih tidak dapat menerima hakikat anaknya telah pergi lebih awal darinya.

"Kalaulah dia bermalam di rumah rakannya dan tidak pulang, mungkin dia masih ada di samping saya kini,” katanya sambil melinangkan air mata.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Marzukhi Mohd. Mohktar berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dipandu mangsa sedang dalam perjalan dari Hutan Melintang menghala ke Pelabuhan Gaddarf Mable.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki empat mereka hilang kawalan dan terbabas selepas dipercayai mengelak seekor anjing yang sedang melintas.

"Kereta itu terbabas ke kiri jalan sebelum masuk ke parit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.