HULU SELANGOR: Seorang guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1 maut selepas kenderaan dipandunya dipercayai terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 7.5 jalan pintasan Rawang menghala ke Serendah, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, lelaki berusia 39 tahun itu dalam perjalanan pulang rumah dari Hospital Selayang.

"Mangsa sedang menjalani dialisis, dia ke Hospital Selayang untuk ambil darah, sebelum pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Faizal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa memandu kenderaan pelbagai guna jenis Proton Ertiga seorang diri telah hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di sebelah kiri jalan.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan terbabit diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian