KOTA KINABALU: Seorang guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau Sydney Engelbert dari etnik Kadazandusun, telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024.

Sydney, 30, dari Kampung Kiawayan di Tambunan, sebuah kawasan luar bandar di Sabah, muncul sebagai pemenang keseluruhan Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024 daripada sejumlah 14,800 calon dari lebih 140 negara.

"Saya sangat bersyukur. Saya tidak pernah terfikir untuk dipilih sebagai pemenang, kerana pencalonan lain semuanya hebat dan saya benar-benar berbesar hati untuk dicalonkan dalam kalangan mereka.

"Namun, dengan sokongan penuh yang saya terima daripada keluarga, rakan, rakan sekerja dan pelajar saya, ia menyedarkan saya bahawa saya tidak bersendirian dalam perkara ini, walaupun ia boleh menjadi suatu perjalanan yang mencabar," kata Sydney dipetik sebagai berkata di laman sesawang https://dedicatedteacher.cambridge.org/.

Sydney, pemegang ijazah sarjana muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), mendapat inspirasi daripada kedua ibu bapanya, yang juga guru, untuk mendalami profesion perguruan.

Sydney mula mengajar pada 2019, dan beliau belajar untuk menangani keupayaan terhad pelajarnya menerusi melalui pelbagai gabungan aktiviti seni dan bahasa.

"Kedua-dua ibu bapa saya adalah guru dan saya membesar dengan melihat bagaimana mereka berjaya membantu dan memberikan inspirasi kepada banyak kehidupan, sepanjang kerjaya mereka.

"Walaupun menerima anugerah dan pengiktirafan atas perkhidmatan mereka sejak sekian lama, ibu bapa saya sering mengatakan bahawa perkara yang paling membanggakan menjadi seorang guru adalah apabila bekas pelajar, masih mengingati dan menghormati mereka.

"Ramai bekas pelajar masih mengingati mereka sebagai guru mereka. Itulah yang membuatkan saya menceburi profesion ini," katanya.

Pada tahun 2022, beliau merintis program kelas pertukaran secara dalam talian bersama beberapa sekolah vokasional di Asia Tenggara, dengan setiap kitaran program berlangsung selama tiga bulan dan dalam tempoh dua tahun, program itu telah memberi manfaat secara langsung kepada hampir 400 pelajar dan 50 guru dari semua sekolah yang mengambil bahagian.

Dia juga memainkan peranan aktif dalam program pengantarabangsaan lain seperti menjadi tuan rumah kepada pelajar luar negara di sekolahnya.

Sydney ialah guru kedua memenangi anugerah berprestij itu selepas Khalifa Affnan, juga dari Kolej Vokasional Keningau, memenanginya pada 2022.

-- BERNAMA