TEMERLOH: Seorang guru wanita berusia 49 tahun kerugian kira-kira RM30,000 selepas rantai emas miliknya diragut di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab, dekat sini, pada Ahad.

Dalam kejadian 1.07 petang itu, mangsa diragut seorang penunggang motosikal ketika dia bersama anaknya sedang berjalan ke arah keretanya sebaik selesai membeli barangan di pasar raya tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Roslee Omar berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek menunggang Yamaha Y16 berwarna biru putih.

"Suspek dipercayai seorang lelaki tempatan, yang meragut rantai leher emas wanita itu, sebelum memecut motosikalnya dan melarikan diri.

"Bagaimanapun, mangsa dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa tidak sempat berbuat apa-apa dan segera meninggalkan lokasi kejadian untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Temerloh pada jam 1.40 petang hari sama.

Ujar beliau, pihaknya sudah meneliti rakaman CCTV yang terdapat di kawasan sekitar lokasi kejadian

"Berdasarkan rakaman itu, suspek melakukan jenayah ragut berkenaan secara bersendirian, memakai topi keledar warna kelabu bersama cermin penutup gelap.

"Namun, nombor pendaftaran motosikal suspek tidak jelas dalam rakaman itu,” katanya lagi

Pihak polis masih menjalankan siasatan.

Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.