KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengumumkan beberapa ketetapan baharu berhubung had jemaah solat dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 Labuan.

Jawi berkata, bilangan jemaah di semua masjid zon, masjid kariah, surau Jumaat dan surau yang diberi kebenaran khas untuk Jumaat, dibenarkan mengisi jemaah sehingga separuh kapasiti sebenar.

"Manakala bilangan jemaah bagi solat Fardu dibenarkan separuh kapasiti dewan solat utama.

"Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran separuh kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Dalam pada itu, Jawi turut menyatakan bilangan had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau kawasan PPN Fasa 1 (Kuala Lumpur dan Putrajaya) kekal seperti ketetapan sebelum ini.

"Walau bagaimanapun, tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan tidak melebihi 30 minit.

"Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memberi keutamaan kepada jemaah yang telah menerima vaksin lengkap.

"Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 ini segera berakhir," jelasnya.