LUMUT: Kerajaan negeri bercadang menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan bagi pembeli rumah kos rendah di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak untuk diluluskan dalam masa terdekat.

“Jangkaan peratusan kenaikan bagi permohonan untuk rumah kos rendah ini belum ada kerana masih di peringkat kertas kerja, tetapi kita di Perak ini tiada masalah kerana mempunyai tanah yang luas.

“Jadi kita sedia bermati-matian untuk mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di sini, hari ini.

Menurut beliau perubahan kelayakan itu juga dilihat berpotensi dalam meningkatkan bilangan kumpulan layak memohon selain memberi lebih peluang kepada rakyat terutama golongan B40 untuk memiliki rumah kos rendah.

Selain itu, Saarani berkata pihaknya bakal melancarkan Skim Sewa Perak Sejahtera yang bertujuan menawarkan rumah-rumah sewa melalui kadar sewa lebih rendah berbanding pasaran dan ia dimulakan dengan 12 unit rumah mampu milik di Taman Perakku Serdang.

“Harga sewa ditawarkan dengan diskaun 20 peratus dari kadar semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, sebanyak RM55.3 juta telah diperuntukkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi membina 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000.

Tambah beliau projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 12 hektar itu berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan.

“Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang merupakan projek keempat berjaya disiapkan LPHP tahun ini. Ini merupakan satu kejayaan yang telah dipamerkan oleh LPHP dan pemaju dalam pelaksanaan projek perumahan,” katanya.

-- BERNAMA