Skip to main content

Teknologi

Instagram perluas fungsi ‘Your Algorithm’ ke suapan utama

https://amanz.my/2026568630
Melalui kemas kini ini, pengguna boleh mengubah suai senarai tersebut dengan menambah topik diminati atau membuang kandungan yang tidak lagi relevan, sekali gus membantu sistem menyesuaikan algoritma mengikut pilihan peribadi. -Foto Amanz

PLATFORM media sosial Instagram mengumumkan peluasan fungsi Your Algorithm ke bahagian suapan utama (Main Feed) bagi memberi pengguna kawalan lebih besar terhadap kandungan yang dipaparkan.

Ciri yang sebelum ini hanya tersedia di Reels dan Explore itu membolehkan pengguna melihat senarai topik yang dikenal pasti berdasarkan aktiviti mereka dalam aplikasi, lapor Amanz.

Melalui kemas kini ini, pengguna boleh mengubah suai senarai tersebut dengan menambah topik diminati atau membuang kandungan yang tidak lagi relevan, sekali gus membantu sistem menyesuaikan algoritma mengikut pilihan peribadi.

Ketua Instagram Adam Mosseri berkata langkah itu diambil susulan maklum balas pengguna yang mendakwa suapan utama semakin dipenuhi cadangan daripada akaun yang tidak diikuti.

“Walaupun cadangan automatik sebelum ini membantu meningkatkan masa penggunaan aplikasi, ia juga mengurangkan kawalan pengguna terhadap pengalaman digital mereka,” katanya.

Beliau berkata fungsi berasaskan topik ini hanyalah permulaan, dengan Instagram merancang untuk memperkenalkan pilihan lain termasuk cadangan kandungan berdasarkan suasana (mood) serta format media.

Langkah ini bertujuan mewujudkan keseimbangan antara kawalan pengguna dan pengalaman komuniti dalam platform berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement